Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Pas berat sebelah terhadap wanita tidak pakai tudung
Forum

Pas berat sebelah terhadap wanita tidak pakai tudung

Saudara Pengarang,
SAYA sama sekali tidak terkejut dengan tindakan kerajaan Pas negeri Terengganu untuk melarang dan mendenda wanita yang tidak berpakaian menutup aurat ataupun yang menurut pandangan mereka berpakaian menjolok mata.

Tindakan Pas ini hanya mengesahkan sikap autoritarian Pas yang gagal memahami persoalan hak untuk memilih individu di dalam beragama dan hak individu wanita bukan Islam ketika berpakaian.

Sikap autoritarian Pas ini sekali gus membuktikan bahawa janji-janji mereka untuk menghormati hak individu di dalam Dokumen Negara Islam ciptaan mereka hanya merupakan janji-janji kosong dan tidak akan ditepati sama sekali.

Berdasarkan kecenderungan mereka mengenakan pelbagai sekatan, peraturan dan undang-undang yang aneh, saya percaya sekiranya Pas berkuasa kelak, bukan sahaja mereka akan gagal melaksanakan keadilan Islam malah mereka mungkin akan membentuk sebuah lagi negara polis ataupun pemerintahan persis pemerintahan puak Taliban di Afghanistan.

Biarpun saya berpegang dengan pandangan Sheikh al-Azhar Dr. Mohammad Sayed Tantawi yang menyebut, `Hijab adalah perintah Allah ke atas setiap muslimah.

Tiada seorang pun orang Islam, sama ada pemerintah atau yang diperintah, boleh membantahnya,' namun saya tidak bersetuju sama sekali dengan pendekatan kerajaan Pas yang memaksa pemakaian tudung terhadap wanita dengan menggunakan kaedah hukuman, lebih-lebih lagi apabila tidak ada sebarang peruntukan khas di dalam al-Quran yang menyarankan seseorang pemerintah untuk menghukum seseorang wanita yang tidak bertudung.

Saya teringat, semasa sesi soal jawab Forum Antarabangsa Kuala Lumpur Mengenai Islam (KALIF) 2003, seorang pemikir Islam dari Iran, Dr. Ziba Mir Hoseini, pernah membangkitkan bahawa persoalan untuk menutup kepala adalah hak wanita dan tidak sepatutnya menjadi hak kerajaan.

Di samping itu, beliau turut mempersoalkan sikap berat sebelah sesetengah kerajaan negara Islam yang bertindak menghukum wanita Islam yang tidak bertudung, tetapi tidak pernah mengadakan sebarang peruntukan untuk menghukum lelaki yang tidak menundukkan pandangan apabila memandang wanita walaupun terdapat perintah agar kaum lelaki berbuat demikian di dalam surah yang sama.

Lagipun, terlalu besarkah kerosakan yang disebabkan oleh wanita yang tidak bertudung?

Kenapakah wanita se-ring menjadi mangsa Pas? Kenapakah sikap Pas ini berbeza apabila berdepan dengan persoalan aurat lelaki?

Dalam soal ahli-ahli sukan lelaki yang mengharumkan nama negara misalnya, kenapakah Pas tidak membangkitkan persoalan aurat?

Tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang menyebut walau sebaris mengenai soal denda terhadap mereka.

Sebaliknya, Pas tidak ketinggalan memberi pelbagai ganjaran berupa wang tunai dan juga sebidang tanah.

Tidakkah tindakan pemimpin-pemimpin Pas ini menunjukkan yang mereka ini hipokrit, tidak adil dan berat sebelah? Bukankah ini juga membuktikan bahawa di sisi Pas, wanita hanyalah warga negara kelas kedua?

Apakah ini juga adalah manifestasi daripada pandangan Pas yang menganggap wanita, bukan lelaki sebagai punca segala maksiat? - TUN FAISAL ISMAIL AZIZ, Gombak.