Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Masalah sosial: Peranan ulama dipersoal
Forum

Masalah sosial: Peranan ulama dipersoal

Saudara Pengarang,
SEKITAR tahun 70-an penerapan nilai-nilai Islam mula bertapak di Malaysia. Di waktu itulah kita mula melihat ceramah-ceramah agama diadakan di sana sini dan wanita Melayu mula memakai tudung. Orang Melayu mula sensitif dengan segala sesuatu yang berlaku dan dengan setiap perbuatan mereka, yang mana pasti akan dikaitkan dengan agama. Perlahan-lahan juga budaya parti hari jadi dan konsert sekolah di hujung tahun terhapus dengan sendirinya.

Seterusnya, baju kurung yang menjadi baju tradisional Melayu dijadikan baju sekolah bagi anak-anak perempuan Melayu dan seluar pendek bagi anak-anak lelaki Melayu yang bersekolah rendah hampir tidak dipakai lagi.

Hari ini, anak-anak yang lahir dalam tahun 70-an sudah mencapai umur dua puluhan dan awal tiga puluhan. Anak-anak yang lahir di tahun 80-an iaitu semasa penerapan nilai-nilai Islam telah kuat bertapak pula, sudah pun mencapai umur remaja dan dewasa.

Penulis mengimbas kembali semua ini untuk mencari jawapan atau punca berleluasanya kejadian-kejadian yang menimpa masyarakat Melayu kita kini seperti samseng sekolah, dadah, rogol dan bunuh. Apa yang menarik ialah mereka yang terlibat dalam kes-kes sebegini adalah remaja lelaki belasan tahun dan lelaki dewasa yang berumur sekitar 20-an hingga 30-an. Sekali gus menunjukkan bahawa mereka lahir di ketika penerapan nilai-nilai Islam sedang giat dilaksanakan di Malaysia. Manakala penjenayah yang berumur 40-an pula adalah mereka yang sudah pun melalui proses kedewasaan semasa era yang sama.

Justeru, apakah tandanya ini? Apakah ini tandanya ada sesuatu yang tidak cukup, tidak menyeluruh atau tidak kena langsung mengenai penerapan nilai-nilai Islam yang dilaksanakan selama ini? Kenapa keadaan moral dan sosial masyarakat Islam semakin buruk dan teruk selepas penerapan nilai-nilai Islam dilaksanakan berbanding sebelumnya?

Amat mudah untuk menuduh media massa dan persekitaran yang menjadi penyebabnya, tetapi apa yang pasti, penerapan yang dilaksanakan selama ini lebih bersifat kosmetik atau luaran. Penerapan ini langsung tidak melalui proses pengisian jiwa dan pembersihan hati yang merupakan asas Islam. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang dapat diteguhkan tanpa asas yang mantap, begitu jugalah dengan iman.

Dan iman itu bukan terletak pada luaran seperti pakaian atau penampilan, ia terletak pada hati. Media massa dan persekitaran tidak akan dapat menggugat sekeping hati yang teguh imannya.

Hari ini, semua umat Melayu perlu mengaku bahawa Islam yang diamalkan di Malaysia semenjak penerapan nilai-nilai Islam bermula secara amnya, hanyalah kosmetik manakala asasnya pula hampir tiada langsung.

Bukalah minda, muhasabahlah diri, dan lihatlah bangsa-bangsa lain di sekeliling kita dan berterus teranglah pada diri sendiri. Anak-anak bangsa lain sibuk mengulang kaji pelajaran dan jauh lebih berdisiplin. Sedangkan anak-anak kita yang dibungkus litup sejak sekolah rendah, diajar mengaji al-Quran, diajar bersembahyang tetapi akhirnya berpeleseran dan melepak di pusat membeli-belah. Anak-anak bukan Islam berlumba-lumba di universiti, di tempat kerja dan di bidang perniagaan. Sedangkan anak-anak Melayu Islam dari era penerapan nilai-nilai Islam pula berlumba haram. Lebih buruk, segelintir daripadanya menjadi penjenayah kejam.

Sehingga hari ini, ketika masyarakat kita melalui trauma demi trauma akibat jenayah-jenayah kejam dan ngeri yang dilakukan oleh bangsa Melayu Islam, kita masih lagi berdebat tentang Islam dari segi kosmetik semata-mata. Soal pakaian seolah-olah merupakan soal yang paling penting bagi masyarakat kita. Kemudian selepas habis tuduh menuduh, umpat mengumpat, perbincangan dan perdebatan perihal pakaian, kita pun melaung-laungkan undang-undang Islam pula. Dan kita seolah-olah percaya bahawa kedua-dua perkara ini akan menyelesaikan semua masalah sosial dan moral masyarakat Melayu Islam.

Walhal, yang lebih penting ialah soal pengisian jiwa iaitu menerapkan sifat kasih sayang, belas kasihan, hormat menghormati dan bantu membantu. Di kala ulama agama lain sibuk berbuat kebajikan, membuka hospital-hospital, sekolah kanak-kanak kurang upaya dan lain-lain, ulama kita lebih suka berdebat mengenai undang-undang negara dan sibuk menayangkan keIslamannya dan berkata bahawa tidak ada orang yang lebih Islam daripada dirinya.

Di kala ulama agama lain mendekati orang-orang yang terpesong, ulama kita memalingkan muka daripada mereka. Di kala anak-anak didik ulama agama lain menjadi pembantu sukarela dalam hal-hal kebajikan, anak-anak didik ulama kita pula sibuk mengutip derma untuk sekolah-sekolah agama yang akan melahirkan generasi ulama kosong yang sama.

Ulama amatlah berpengaruh dalam masyarakat Melayu termasuk guru-guru dan ibu bapa. Ini bermakna, terpesongnya pemikiran dan pentafsiran ulama ini, maka terpesonglah sebahagian besar masyarakat Melayu. Jika ulama mengajar kosmetik Islam, maka hanya kosmetiklah yang digunapakai oleh Melayu. Itulah yang berlaku selama ini.

Sebenarnya, kerajaan telah menyediakan asas yang kukuh untuk para ulama melaksanakan penerapan nilai-nilai Islam dengan mantap dan jayanya. Prasarana-prasarana dibangunkan bagi membolehkan umat Islam menuntut ilmu agama dengan sempurna dan selesa. Peruntukan diberikan kepada jabatan-jabatan serta pertubuhan-pertubuhan berkenaan agama Islam untuk memastikan para cendekiawan agama dapat mengkaji ilmu Allah seterusnya memimpin masyarakat kepada Islam yang tulen.

Tetapi malangnya, para ulama kita nampaknya lebih gemar membuat kerja kerajaan daripada membuat kerja mereka. Mereka lebih gemar mempersoalkan undang-undang negara serta berebut kuasa politik. Kalau tidakpun, mereka lebih gemar pergi ke pejabat membaca kitab, berbual perihal agama (atau orang lain) sesama mereka, bersembahyang sunat siang dan malam hatta pada waktu kerja sekalipun. Selain itu, ada juga yang lebih suka mencari wang mudah dengan membuka hospital jampi, atau berniaga produk-produk jampi yang karut marut. Lebih memalukan, ulama yang membuka hospital jampi yang dinamakan perubatan Islam itu juga memilih untuk dirawat di luar negara apabila beliau jatuh sakit. Tentu sekali tindakan beliau menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah akan perubatan yang dinamakan perubatan Islam dan sekali gus memalukan Islam.

Sedangkan perubatan cara sains itulah perubatan Islam. Ilmu sains sememangnya termaktub di dalam al-Quran, berbanding ilmu jampi. Kewujudan mesin pengimbas ultrasound untuk mengesan dan melihat bayi di dalam kandungan adalah kemajuan yang terhasil dari kajian terhadap ilmu yang disampaikan di dalam al-Quran mengenai kejadian manusia. Silap faham ajaran agama oleh ulama sebeginilah yang menyebabkan ramai orang Melayu turut sama tersilap.

Untuk mengeluarkan masyarakat kita dari pemahaman Islam secara kosmetik kita perlu bermula dengan menanamkan sifat-sifat mulia yang disebut di atas. Tidak boleh tidak, kita harus bermula dari asas. Malang sekali lagi, ajaran sifat-sifat mulia termasuk pengawalan sifat marah dan banyak bersabar nampaknya kurang menarik minat para ulama Melayu kerana mereka sendiri penuh dengan sifat marah dan kadangkala benci yang meluap-luap. Sifat sabar pula seolah-olah dilupakan dari ajaran Islam oleh ulama masa kini. Sedangkan hanya dengan menanamkan sifat-sifat mulia dan pembentukan hati yang bersih sahaja dapat mengawal masalah jenayah kejam di negara kita.

Tanpa sifat-sifat ini, apa jenis undang-undang pun tidak membawa banyak perbezaan bagi mereka yang terlibat. Ini kerana undang-undang atau hukuman hanya berperanan setelah sesuatu jenayah itu terjadi. Maknanya setelah ada nyawa kanak-kanak atau wanita yang melayang dan ada yang menderita.

Kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum. Dan kita semua terdedah dengan media massa serta tertakluk di bawah undang-undang yang sama. Sebagai manusia, sebahagian dari kita menjadi manusia yang baik dan segelintir lagi menjadi penjenayah. Kita sebenarnya punya pilihan untuk menjadi baik atau jahat. Pembentukan peribadi kita oleh ibu bapa dan guru sejak kecil yang akan menentukan ke mana arah kita. Undang-undang, media massa dan persekitaran hanyalah subjek sampingan yang hanya 20% mempengaruhi keperibadian kita.

Oleh itu, peranan ulama untuk mengajar masyarakat mengenai sifat-sifat mulia dan menjauhi penyakit-penyakit hati harus dimainkan dengan lebih pro-aktif.

Bagaimanapun sudah tentu sukar bagi seseorang yang bergelar ulama yang asyik berfikir tentang suara wanita, pakaian wanita, wajah cantik wanita atau poligami, untuk mengajar masyarakat supaya jangan menganiaya wanita serta bagaimana menghormati wanita, yang mana merupakan satu subjek yang dianggap sebagai objek, oleh mereka. - NIHAZ MOHD YUSOFF