Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Batas fesyen wanita Islam
Keluarga

Batas fesyen wanita Islam

DALAM Islam, secara tegas telah ditetapkan batas-batas berpakaian yang menutup aurat bagi wanita dan lelaki.

Konsep berpakaian bagi seorang wanita Islam ialah dengan menutup aurat seluruh badan, kecuali muka dan tangan, longgar serta memilih corak dan warna yang tidak menarik perhatian.

Hakikatnya, seorang wanita yang menjaga auratnya daripada pandangan lelaki bukan muhrim, bukan saja telah menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.

Pun begitu ini tidak menyekat mereka untuk bergaya, sebaliknya masih boleh tampil di khalayak asalkan tidak lari daripada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Jika diperhatikan situasi hari ini menunjukkan semakin ramai wanita menjaga auratnya dengan sekurang-kurangnya memakai tudung.

Apa yang membanggakan pemakaian tudung bukan sahaja di peringkat bawahan tetapi peringkat atasan, sama ada kalangan pelajar sekolah atau golongan pekerja.

Walaupun pelbagai gaya tudung di peraga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna kerana masih ada yang masih menampakkan leher atau dada.

Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat.

Situasi ini secara tidak langsung menenggelamkan niat sebenar seseorang itu berpakaian, sebaliknya bertukar untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Prihatin dengan isu ini, Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM) terpanggil untuk memberi kesedaran kepada kaum wanita dengan mengadakan Pertunjukan Fesyen Wanita Islam Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijangka diadakan pada 29 Januari 2004.

Pertunjukan fesyen itu juga merupakan satu usaha positif ke arah perkembangan dunia fesyen tempatan khususnya bagi wanita Islam.

Pengerusi MPWIM, Datuk Kamilia Ibrahim memberitahu, antara objektif program itu ialah memperkenalkan kepada wanita Islam di negara ini khususnya, dan wanita luar amnya, busana yang sesuai untuk digayakan.

Malah menjadi harapan untuk menjadikan negara sebagai pusat busana muslimah di kalangan isteri-isteri perwakilan negara-negara Islam.

Pertunjukan fesyen yang dijangka di adakan di Hotel Sunway, Bandar Sunway itu bukan sahaja mampu mempromosi negara di mata dunia Islam malah memberi peluang bertukar pandangan mengenai fesyen terkini khusus untuk wanita Islam.

``Apa yang penting dengan pelbagai koleksi busana Muslimah yang ditampilkan pada pertunjukan itu sekali gus memartabatkan cara berpakaian wanita Islam di negara ini,'' ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa MPWIM, Yasmin Sidek yang turut terlibat menjayakan pertunjukan fesyen itu berkata, busana muslimah kini tidak hanya terhad kepada fesyen berjubah sahaja tetapi juga apa sahaja rekaan terkini asal sahaja mengekalkan ciri kesopanan dan keanggunan.

Ini termasuklah blaus, pinafore dan skirt labuh yang mempunyai kelebihan dari segi potongan, warna dan fabrik.

``Adakalanya memang sukar mencari busana yang memenuhi cita rasa seseorang memandangkan rekaan yang ada di pasaran agak terhad. Apa yang diharapkan program ini dapat memberi mereka lebih banyak pilihan dengan pelbagai rekaan dan fesyen terkini,'' ujarnya.