Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Wanita di luar rumah - Pelihara peraturan Ilahi
Bicara Agama

Wanita di luar rumah - Pelihara peraturan Ilahi

Oleh FARIDAH MOHAMED SANI

Lelaki tanpa wanita, dan wanita tanpa lelaki adalah sesuatu yang mustahil. Ini kerana masing-masing pihak saling memerlukan antara satu sama lain dan tidak boleh hidup bersendirian.

Wanita diciptakan Allah memiliki tubuh badan yang sesuai untuk mengandungkan zuriat dan seterusnya melahirkan.

Sementara kaum lelaki pula mempunyai kelebihan berdasarkan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin kepada wanita dan keluarganya.

Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan tugas yang mesti ditunaikan. Namun dari segi status sebagai hamba Allah, kedudukan lelaki dan wanita adalah sama dan setaraf.

Kedua-duanya bertanggungjawab melaksanakan setiap perintah Allah dan menjauhkan semua larangan-Nya. Mereka akan mendapat ganjaran dan dosa yang sama terhadap perlakuan mereka di dunia ini.

Hal ini disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya: ``Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih daripada lelaki atau wanita, sedangkan ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.'' (An-Nisa:124).

Dari sini jelaslah kepada kita bahawa Islam memberikan pengiktirafan yang sama terhadap lelaki dan wanita. Yang membezakan kedua-duanya hanyalah ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Wanita, menurut Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah Datuk as-Sheikh Nooh Gadot, pada asasnya mempunyai hak yang sama dengan lelaki.

Dalam hal ini katanya, al-Quran memberikan beberapa hak asasi kepada wanita, iaitu:

- Hak untuk mendapatkan pendidikan dan pembelajaran ilmu pengetahuan kerana perintah membaca dan belajar itu meliputi lelaki dan wanita.

- Hak untuk mendapatkan dan memiliki harta dan hak untuk membeli dan menjual harta secara mutlak.

- Hak untuk memegang jawatan kerja dan hak untuk melibatkan diri dalam lapangan perusahaan dan perniagaan.

- Hak untuk menyumbang bakti kepada bangsa, agama dan tanah air.

Senarai di atas boleh dijelaskan dengan mengambil kira pencapaian-pencapaian kaum wanita dalam sejarah Islam sejak 1400 tahun yang lalu dalam semua bidang.

Dalam bidang ekonomi, terutama pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman para khalifah yang empat, golongan wanita amat berperanan dalam aktiviti sosio-ekonomi.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab misalnya, beliau melantik Shifa bte Abdullah sebagai pengawal pasar memandangkan ramainya peniaga wanita di pasar al-Madinah.

Wanita pada zaman tersebut, bukan sahaja membantu keluarga mencari nafkah dengan menggunakan kemahiran mereka dalam kerja-kerja kraftangan seperti menganyam, mengait, membuat roti dan membuat pinggan mangkuk, bahkan mereka juga membuat panah dan pedang sehingga sesetengahnya dikenali dengan nama wanita seperti ar-Rimah ar-Rudayniyyah kerana kemahirannya.

Melalui bidang ilmu pengetahuan, Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w. sendiri merupakan tokoh berwibawa dalam pengajian al-Quran dan syariah. Ramai para sahabat lelaki yang menuntut ilmu daripadanya. Begitu juga nama-nama seperti Ummu Salamah, Hafsah, as-Shifa, Atikah dan Bariah.

Dan yang tidak kurang pentingnya ialah wanita turut menyumbangkan khidmat baktinya kepada masyarakat dan negara.

Rasulullah s.a.w. sendiri membenarkan isteri-isterinya menyertai peperangan. Mereka merawat pejuang-pejuang yang cedera, memberi bekalan air dan makanan. Di antara mereka ialah, Aisyah, Hafsah, ummu Salamah dan Laila Abdul Mutalib.

Dalam medan juang pula, Nusaibah adalah wanita yang telah mempertahankan nabi s.a.w. dengan pedangnya dalam peperangan Uhud. Sementara Ummayyad bte Qais menjadi pejuang yang handal dalam peperangan Khaibar.

Al-Quran juga telah menceritakan penglibatan anak gadis Nabi Syuaib bekerja di luar rumah sebagai pengembala kambing ternakan untuk menyara kaum keluarganya.

``Wanita turut bekerja mencari nafkah hidup bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sejarah hidup manusia. Khidmat wanita dalam masyarakat adalah suatu kepastian yang tidak mungkin dihalang atau disekat, kerana ia adalah sebahagian daripada fitrah manusia itu sendiri,'' ujar Nooh Gadot ketika membentangkan kertas kerjanya, Pandangan Islam Terhadap Pencapaian Wanita di Seminar Memahami Kedudukan Wanita Berjaya Dari Perspektif Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Dan keluarga baru-baru ini.

Ia menunjukkan bahawa fungsi wanita bukan hanya mengandung dan melahirkan serta memelihara anak-anak, wanita juga boleh melibatkan diri dalam kehidupan di luar rumah, sama ada dengan tujuan bekerja membantu keluarga ataupun berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam hal ini, Nooh menasihatkan kaum wanita yang berada di luar rumah, sama ada kerana bekerja atau lain sebagainya agar memelihara segala peraturan Ilahi supaya mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah s.w.t.:

- Mereka diperingatkan supaya menutup aurat, berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31: ``Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan ... Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir...''

- Menjaga suara dan tingkah laku supaya tidak menimbulkan syahwat. Firman Allah mengingatkan : ``...Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit di dalam hatinya...'' (Al-Ahzab:32).

- Jangan berada di tempat yang boleh menimbulkan fitnah atau menggugat keselamatan wanita itu sendiri.

Peraturan-peraturan ini katanya, merupakan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh wanita seandainya mereka hendak berada di luar rumah dan bergaul dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Selain itu, untuk menjaga keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga, para isteri diharapkan mendapatkan izin suami untuk tujuan berkenaan.

Apabila syarat-syarat telah dipenuhi, pihak suami pula seharusnya menerima peraturan hidup bekerja di bawah majikan dan bersedia pula bertolak ansur serta membantu (sekurang-kurangnya memberi sokongan moral) kepada isteri dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga.