Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Nazri tidak cakap ikut sedap mulut
Forum

Nazri tidak cakap ikut sedap mulut

Saudara Pengarang,
BENARKAH Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Pembangunan Usahawan seorang yang tiada mempunyai hemah seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Benarkah juga Ahli Parlimen Chenderoh itu seorang yang mudah melenting, tidak menggunakan bahasa yang lembut serta tidak bersopan santun sebagaimana dakwaan Orang Tua, Kampong Kerinchi, Kuala Lumpur?

Datuk Seri Nazri akan bercakap terus kepada maksud. Mungkin bunyinya seperti melenting, tetapi itulah Datuk Seri Nazri yang besi sifat jati dirinya.

UMNO sesungguhnya memerlukan seorang tokoh yang lantang dan lancang sebegini. Pemimpin yang bijaksana dan berkarisma tahu di mana dia wajar melunakkan suara dan pada ketika mana pula dia wajib untuk bersuara selantang bunyi.

Benar, Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah apa yang tidak dikata oleh pihak pembangkang. Tidak ada sesuatu yang elok dan baik ada dalam diri dua tokoh besar ini pada mata pembangkang.

Namun memang wajarlah Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah tidak menjawab apa-apa terhadap lemparan tohmah yang palsu itu kerana orang-orang kanan di sekeliling dua tokoh ini seperti Datuk Seri Nazri dan lain-lain lagi yang benar-benar `anak jantan' akan tampil mempertahan dan menyerang semula pihak pembangkang dengan mengatakan bahawa segala lemparan fitnah mereka itu adalah bohong.

Saya yakin Datuk Seri Nazri tahu batas sempadan apa yang patut beliau cakapkan. Beliau tidak akan bercakap ikut sedap mulut sahaja. Para pengundi di kawasan Parlimen Padang Rengas atau dahulunya Chenderoh, kenal benar hati budi ahli Parlimen mereka.

Datuk Seri Nazri seorang yang berhemah tinggi, dihormati, menghormati orang-orang yang lebih dewasa daripadanya, pintar dan pantas dalam membaca gerak hati kawan dan lawan. Beliau seorang yang cukup kuat menjunjung kepada falsafah berpegang kepada kebenaran.

Jangan kita lupa bahawa beliau sedikit pun tidak gentar untuk berdepan dengan ahli Parlimen Pas Terengganu dalam perdebatan berkaitan penutupan MRSM yang diadakan di tengah-tengah lautan orang Pas yang datang dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di pekarangan Wisma Darul Iman pada tahun lalu. Faktor keselamatan sahaja yang menidakkan berlangsungnya perdebatan itu.

Bagi saya watak lantang, berani menegakkan kebenaran dan memberi pandangan, bertanggungjawab ke atas pandangan dan tindakan serta tegas dan berprinsip adalah wajah seorang bernama Nazri Aziz yang sebenarnya yang sudah lama terserlah khususnya sejak beliau berada dalam kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO belasan tahun yang lalu. Saya yakin Datuk Seri Nazri melonjak bukannya meninggi, menunduk bukannya bererti memberi ruang lawan untuk memijak dengan mudah. - RANIMAN MANRANI, Padang Rengas, Perak.