Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Nazri perlu contohi sikap berhemah Mahathir, Pak Lah
Forum

Nazri perlu contohi sikap berhemah Mahathir, Pak Lah

Saudara Pengarang,
SEBAGAI rakyat Malaysia dan orang tua dalam UMNO, saya ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Nazri Aziz yang saya kira agak kasar dan kurang berhemah cara pertuturannya.

Datuk Nazri tidak lama dahulu pernah melahirkan kemarahannya kepada seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadapnya.

Baru-baru ini pula beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang berbau angkuh ketika menafikan khabar angin bahawa beliau sudah meletakkan jawatan.

Ini adalah sikap yang jarang ada di kalangan pemimpin UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO kebanyakannya jarang mengeluarkan kenyataan akhbar yang menunjukkan ketinggian kedudukan dan autoriti diri mereka.

Tidak seperti parti-parti pembangkang Melayu yang lain, (terutamanya Pas dan Keadilan) UMNO adalah satu-satunya parti politik Melayu yang menunjukkan ketinggian adab sopan dan pelita budi orang Melayu.

Janganlah kerana hati dan perasaan yang marah, kenyataan sebegitu dikeluarkan. Ia hanya menunjukkan sikap kebudak-budakkan.

Dalam sebuah akhbar tempatan, Datuk Nazri dilaporkan berkata beliau sedar ada orang yang tidak sukakan beliau kerana beliau tidak suka cakap berlapik. Ini kerana beliau bimbang maksud percakapannya tidak sampai, maka tidak berlapiklah pertuturan beliau.

Sebagai orang tua, saya ingin menasihatkan Datuk Nazri supaya mengambil contoh sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Dr. Mahathir pernah dituduh sebagai Firaun dan kafir, malah paras wajah beliau disamakan dengan babi. Namun beliau bersabar dan tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan itu.

Beliau juga dituduh dengan tuduhan yang lebih berat daripada tuduhan yang dilemparkan kepada Nazri, iaitu dituduh menonton video lucah bersama cucunya. Namun beliau tetap tenang dan tidak menggunakan media untuk melahirkan kemarahan dan ketidakpuasan hati beliau terhadap tuduhan dan fitnah seumpama itu.

Dengan penuh hikmah, beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan membiarkan rakyat menilai sendiri kebenaran beliau. Saya kagum dengan sikap Dr. Mahathir yang tidak mempedulikan kritikan sehingga akhirnya para pengkritik terpaksa menjilat kembali ludah mereka. Jika Dr. Mahathir perlu membalas kenyataan menghina para pembangkang, beliau akan menumpukan kritikan kepada orang yang mengata, dan bukannya membuat kenyataan tentang betapa hebatnya diri beliau.

Begitu juga dengan Datuk Seri Abdullah. Pas baru-baru ini memperlekehkan kebolehan beliau mengimamkan solat. Allahyarham Fadzil Noor pula pernah menggelar beliau sebagai gembala babi.

Sebelum beliau menjadi Perdana Menteri pula, penyokong-penyokong Anwar Ibrahim pernah memanggil beliau sebagai tukang susun kasut apabila beliau hadir pada majlis yang sama. Kalau diikutkan hati, Pak Lah boleh memulangkan paku buah keras kepada Anwar ketika Anwar ditangkap atas tuduhan rasuah dan salah laku seks, tetapi beliau tidak berbuat demikian.

Peluang Pak Lah untuk memaki hamun semula Anwar terbuka luas apabila kini beliau Perdana Menteri (jawatan yang diidam-idamkan Anwar). Namun beliau masih tidak bersuara menempelak Anwar. Malah saya percaya Pak Lah akan terus berdiam diri sehingga ke akhir hayatnya.

Sikap dua tokoh ini melambangkan ketinggian akhlak dan budi bahasa mereka. Bahawa mereka tidak mudah melatah dan melenting ialah satu tanda kewibawaan dan ketokohan mereka sebagai pemimpin. Itulah peribadi Muslim yang unggul dan mengikut contoh Rasulullah.

Saya masih ingat kata-kata Dr. Mahathir yang kedengaran sayu: ``Tidak perlu saya mengambil apa-apa tindakan (ke atas tuduhan-tuduhan dan fitnah yang dilemparkan). Bukankah Allah ada? Suatu hari apabila saya pergi kepada-Nya saya akan mengadu semuanya kepada Tuhan. Jika saya benar, maka Dialah yang akan membalasnya untuk saya.''

Untuk itu, saya meminta agar Datuk Nazri mengubah sikap. Tidak ada salahnya menggunakan bahasa yang lembut dan bersopan santun.

Ya, sikap pengkritik kadangkala menyakitkan hati dan mampu membuat kita melenting, tapi jangan sampai menyamakan diri kita dengan pembangkang yang sudah hilang adab sopan dan budaya Melayu yang tulus itu. - ORANG TUA, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.