Make your own free website on Tripod.com
Home | Info Centre | Artikel Pilihan | My Self & Family
http://sal-online.tripod.com
Kepentingan komersial membentuk Hari Valentine
Rencana

Kepentingan komersial membentuk Hari Valentine

Pada Hemat Saya
Oleh NOOR AZAM SHAIRI
(Wartawan Utusan)
WARNA merah dan merah jambu sekarang 'beraja' di mana-mana; di pusat membeli-belah, di televisyen malah di laman-laman Internet. Ini bukan tentang Tahun Baru Cina. Ini juga bukan trend warna semasa. Ini semua gara-gara Hari Valentine yang diraikan hari ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita mengenali hari itu sebagai Hari Memperingati Kekasih. Ada juga yang memanggilnya sebagai Hari Kasih Sayang.

Tetapi tulisan ini secara sedar tidak akan merujuk kepada tarikh 14 Februari itu dengan nama-nama Melayunya. Hari Valentine tetap Hari Valentine. Tiada nama lain yang sesuai untuknya.

Memang nama yang dimelayukan itu mengikut hujah cerdik pandai lebih sesuai dengan budaya tempatan dan lebih sedap didengar, sehingga mengikiskan konotasi budayanya yang berasal dari fahaman Kristian dan tradisi kuno Rom.

Kita barangkali tidak pernah mahu bertanya atau memikirkan kenapa perlu Hari Valentine itu ditukarkan namanya? Atau, pernahkah pula kita bertanya ada apa sebenarnya dengan Hari Valentine itu?

Di kalangan orang agama khususnya di sebelah Timur, mereka cenderung melihatnya sebagai satu ancaman budaya dari Barat. Ada juga puak yang menjalankan kempen anti Hari Valentine. Mereka berarak di jalan raya dan membakar longgokan kad-kad ucapan sebagai tanda protes.

Tetapi itu semua tidak berlaku di sini, dan kita juga tidak mahu ia terjadi. Sungguhpun begitu, ada baiknya kalau kita duduk sejenak dan merenungkan ada apa sebenarnya dengan satu hari yang menimbulkan kegilaan di kalangan orang bercinta itu.

Kita melihat kegilaan itu hanya sebagai satu budaya popular semasa, terutamanya di kalangan orang muda. Kita barangkali terlupa bahawa budaya semasa itu lahir daripada budaya kepenggunaan.

Kepada yang masih skeptikal, Hari Valentine sebenarnya bukan tentang menunjukkan kasih sayang. Kalau kita percaya bahawa setiap hari sepanjang tahun adalah hari berkasih sayang dan hari memperingati kekasih, makan malam berdua pada hari yang kononnya istimewa itu sudah tentu tiada bezanya dengan malam-malam yang lain.

Malah menerima sejambak bunga atau sekuntum saja bagi yang tidak berduit tetapi mahu juga meraikannya tidak membawa apa-apa makna. Menerima bunga pada hari itu adalah sesuatu yang sudah boleh dijangka.

Menerimanya pada hari lain, bukan Hari Valentine atau tarikh-tarikh yang khusus sudah tentu mempunyai makna yang lebih besar betapa seseorang itu dihargai dan ada dalam ingatan.

Tetapi kepada sesetengah orang, mereka rasa ketinggalan kalau tidak memberikan bunga, menempah makan malam yang sedikit istimewa atau menghadiahkan coklat kepada orang tersayang. Dalam istilah semasa, mereka itu tidak cool atau ada sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka. Meraikan Hari Valentine itu adalah sesuatu yang diterima oleh trend dan budaya semasa.

Tanda tanya besar: Siapa yang menghukum bahawa kita mesti melakukan semua itu hari ini? Siapa pula yang mengatakan bahawa meraikan Hari Valentine itu menjadikan kita cool?

Kita sebenarnya tidak sedar bahawa segenap segi kehidupan kita sekarang ini sebenarnya ditentukan atas nama perniagaan dan keuntungan.

Inilah sistem hidup pada masa sekarang. Inilah sistem hidup yang mahu ditekankan melalui globalisasi dan amalan perdagangan bebas. Inilah juga sistem yang ditentang oleh kita selama ini.

Tetapi apabila tiba bab Hari Valentine, kita gagal menyatakan tentangan. Malah kita memelayukannya dengan menukarkan nama hari itu.

Sambutan Hari Valentine yang awalnya mempunyai konotasi agama dan tradisi lama itu sebenarnya sudah dikomersialkan dan menjadi senjata untuk mengaut keuntungan. Ia tidak ada kena-mengena dengan kasih sayang atau cinta tetapi duit yang ada pada kita semua.

Inilah juga yang menjadi asas hujah Leigh Eric Schmidt dalam bukunya Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday. Dalam bukunya itu, beliau antara lain mengupas sejarah kemunculan kad-kad ucapan untuk sambutan Hari Valentine, Hari Krismas, Hari Easter dan Hari Ibu.

Dalam erti kata lain, Schmidt memperkenalkan idea tentang bagaimana kepentingan komersial telah mengembang budaya kepenggunaan dan seterusnya membentuk budaya popular. Sambutan Krismas hari ini adalah tentang membeli-belah dan itulah masanya jenama-jenama terkenal diperagakan dengan bersungguh-sungguh.

Sambutan yang bersifat keagamaan yang telah dikomersialkan itu kemudiannya dipasarkan dengan peruntukan belanja yang luar biasa melalui iklan.

Malah sama seperti mana kita menerima Hari Valentine, kita juga menerima Hari Ibu atau Hari Bapa. Dalam masyarakat Barat yang semakin luntur nilai-nilai dan ikatan kekeluargaannya, Hari Ibu dan Hari Bapa tidak lain hanya usaha mereka mahu meyakinkan diri sendiri bahawa mereka masih ada sistem kekeluargaan yang utuh.

Soalnya, apakah kita perlu kepada itu semua? Tidakkah penghormatan kepada ibu bapa dan penghargaan kepada orang tercinta itu adalah sesuatu yang tidak mengenal batas masa.

Seperti yang dihujahkan oleh Kalle Lasn dalam buku pentingnya, Culture Jam: How To Reverse America's Suicidal Consumer Binge - And Why We Must, kita perlu merebut kembali putaran sistem hidup yang sebenarnya telah dibentuk dengan jayanya oleh dunia komersial.

Kita tidak perlu kepada Hari Valentine untuk menyatakan kasih sayang. Setiap hari adalah hari untuk berkasih sayang.